Lakukan...

Bawa Kad Pengenalan Anda Ke Pusat Mengundi

Kerani di pusat pengundi akan meminta Kad Pengenalan anda untuk memastikan butiran yang terpapar di Kad Pengenalan anda sepadan dengan maklumat di daftar pemilih.

Semak Status Pemilih, Pusat Mengundi, Dan Saluran Mengundi Di MySPR Semak

Dengan menyemak status pemilih anda di laman MySPR Semak, anda akan dapat melihat pusat mengundi yang anda harus kunjungi untuk membuang undi anda pada hari mengundi. Laman MySPR Semak anda juga menunjukkan saluran mengundi, nombor bilangan pengundi anda, dan waktu keluar mengundi yang disarankan oleh pihak SPR juga! Ingat butiran-butiran ini supaya anda keluar ke pusat mengundi yang betul pada hari mengundi.

Kaji Semua Calon Dan Parti Yang Bertanding Di Kawasan Anda

Anda patut kenali calon-calon yang bertanding di kawasan anda. Wajar juga untuk anda menyelidik tentang latar belakang setiap calon, rekod pencapaian mereka, dan isu-isu yang telah mereka utarakan. Ini supaya anda dapat membuat pilihan yang berasaskan fakta dan mengundi untuk calon yang mempertahankan isu-isu yang anda anggap penting.

Pastikan Tangan Anda Bersih Dan Tidak Bertanda

Tangan anda haruslah bersih dan tidak bertanda atau berhias apa-apa sekalipun. Ini termasuk cat kuku juga! Kerani pusat mengundi akan menyapukan dakwat kekal pada jari telunjuk kiri anda dan cat kuku atau hiasan mungkin akan menyebabkan penyapuan dakwat kekal lebih susah.

Elakkan...

Memakai Pakaian Bertanda Parti-Parti Politik Ke Pusat Mengundi

Berdasarkan undang-undang pilihan raya, tempoh berkempen haruslah tamat pada jam 12 malam hari mengundi. Memakai pakaian bertanda parti-parti ke pusat mengundi mungkin boleh dianggap sebagai berkempen diluar tempoh kempen. Jika didapati bersalah, anda boleh disabitkan hukuman penjara 1 tahun, saman bernilai RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

Menggunakan Telefon Bimbit Di Pusat Mengundi

Pastikan anda tidak menggunakan peranti telekomunikasi (seperti telefon bimbit) di pusat mengundi — undi anda itu rahsia! Anda juga dilarang untuk mengambil gambar atau video menunjukkan kertas undi bertanda anda.

Membawa Kertas Undi Keluar Dari Pusat Mengundi Sebagai “Cenderamata”

Undi anda haruslah dimasukkan kedalam kotak undi, bukan mana-mana tempat lain. Membawa kertas undi anda keluar dari pusat mengundi merupakan salah di sisi undang-undang pilihan raya dan anda boleh disabitkan hukuman penjara selama 2 tahun, hukuman kompaun bernilai RM5,000, atau kedua-duanya sekali. Jika anda terjumpa kertas undi tercicir, maklumkan pegawai pilihan raya dengan segera.