Cara Mengundi Pada Hari Mengundi
1
Pastikan Anda Ke Pusat Mengundi Yang Betul
Semak dan pastikan pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor pemilih anda sehari dua sebelum hari mengundi di laman web MySPR Semak supaya anda boleh memulakan hari mengundi anda dengan lancar.
2
Bangun Awal
Semua pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan dibuka pada jam 8 pagi dan pusat mengundi di Sabah dan Sarawak akan dibuka pada jam 7:30 pagi. Tetapi, kemungkinan akan ada yang sudah beratur sebelum pusat mengundi buka lagi! Anda digalakkan keluar ke pusat mengundi awal dan mengikut masa keluar mengundi yang disarankan oleh SPR di laman MySPR Semak anda. Anda digalakkan untuk tidak melengahkan keluar ke pusat mengundi sebelum jam tutup pusat mengundi.
3
Tunjukkan Kad Pengenalan Anda Kepada Kerani Di Pusat Mengundi
Apabila anda sampai di pusat mengundi, anda akan diminta untuk menunjukkan kad pengenalan anda bagi tujuan mengesahkan butiran anda, termasuk gambar dan nombor kad pengenalan anda. Setelah itu, kerani di pusat mengundi akan menyapukan dakwat kekal kepada jari telunjuk kiri anda dan memberikan anda kertas undi untuk ditanda. Hati-hati untuk tidak terkena dakwat kekal atas kertas undi anda! Apa-apa tanda di atas kertas undi anda mungkin boleh merosakkan kertas undi anda dan undi anda tidak akan dikira.
4
Semak Kertas Undi Anda
Pastikan kertas undi anda adalah kertas undi yang betul mengikut kawasan mengundi Parlimen atau DUN anda dan mempunyai cop Suruhanjaya Pilihan Raya dan nombor siri. Jika anda berada di dalam bilik mengundi dan menyedari bahawa kertas undi anda salah, jangan keluar dari bilik mengundi dengan membawa kertas undi anda—anda harus memanggil seorang kakitangan pilihan raya untuk datang dan menolong anda. Ini kerana membawa keluar kertas undi dari pusat mengundi adalah salah di sisi undang-undang pilihanraya dan anda mungkin akan disabitkan hukuman penjara 2 tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
5
Tanda Kertas Undi Anda Dengan Betul
Pastikan anda menanda kertas undi anda dengan satu X di ruang kosong bersebelahan calon pilihan anda. Pastikan juga X tersebut muat di dalam ruang kosong dan tidak terkeluar dari ruang tersebut. Ini kerana apa-apa tanda yang terkena ruang calon lain boleh bermakna undi anda diisytiharkan rosak. Selepas menanda kertas undi anda dengan betul, anda boleh melipat kertas undi anda dan memasukkannya kedalam peti undi.
6
Jangan Berlegar Di Pusat Mengundi
Berlegar di pusat mengundi setelah membuang undi adalah salah di sisi undang-undang pilihan raya dan anda boleh disabitkan hukuman penjara setahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.